Monday, January 30, 2012

Setia Menunggu


Oh Tuhan, seandainya telah Kau catatkan
Dia milikku, tercipta untuk diriku
Satukanlah hatinya dengan hatiku
Titipkanlah kebahagiaan

Ya Allah, ku mohon
Apa yang telah Kau takdirkan
Ku harap dia adalah yang terbaik buatku
Kerana Engkau tahu segala isi hatiku
Pelihara daku dari kemurkaanMu

Ya Tuhanku, yang Maha Pemurah
Beri kekuatan jua harapan
Membina diri yang lesu tak bermaya
Semaikan setulus kasih di jiwa

Ku pasrah kepadaMu
Kurniakanlah aku
Pasangan yang beriman
Bisa menemani aku
Supaya ku dan dia
Dapat melayar bahtera
Ke muara cinta yang Engkau redhai

Ya Tuhanku, yang Maha Pengasih
Engkau sahaja pemeliharaku
Dengarkan rintihan hambaMu ini
Jangan Engkau biarkan ku sendiri

Agarku bisa bahagia
Walau tanpa bersamanya
Gantikanlah yang hilang
Tumbuhkan yang telah patah
Ku inginkan bahagia
Di dunia dan akhirat
PadaMu Tuhan ku mohon segala

p/s:Aku setia menunggu.

Friday, January 27, 2012

Penampilan Seiring Akhlak



Apabila kita berbicara tentang memuji dan pujian,pasti ramai tidak mengendahkannya.Ia adalah sifat semulajadi manusia untuk memuji yang disukai dan mengeji yang dibenci.Apalah untungnya memuji perkara yang dikeji,sedangkan Allah jua membenci orang yang menzalimi.

Manusia suka dipuji,meskipun manusia kadang kala tidak lepas melakukan dosa yang dirinya sendiri benci.Sama ada soleh atau tidak soleh.Sama ada cantik atau tidak cantik.Hakikatnya manusia suka diberikan penghargaan dan ingin kehadirannya dirasai.

Kerana rasa ingin dihargai,kadangkala kita cuba mengubah apa yang ada pada diri.Rambut yang hitam diwarnakan perang.Mata yang coklat di'contact lens'kan dengan warna biru.Tidak berkecuali cuba tampil dengan pakaian yang pelik dari orang lain.Semuanya untuk mendapatkan perhatian.Semuanya kerana fitrah manusia suka untuk diberi penghargaan.

"Awak ni cantiklah.Macam bulan," kata si suami pada isteri.

"Abang kalau pakai baju warna biru nampak lagi hansem mak rasa," puji si ibu pada anaknya.

Kerana itu,menjaga penampilan penting bagi setiap makhluk bergelar manusia.Saya yakin tidak ada larangan dalam Islam tentang berfesyen.Cuma Islam memberikan garis panduan dalam berpakaian dan berhias diri.Menutup aurat misalnya.

Cuma kadangkala sama ada kita perasan atau tidak,kadangkala baju yang kita ada lebih dari apa yang kita cukupi.Setahun tidak akan lari dari 3 4 helai baju.Saya sendiri mengakuinya.

Kadangkala bila ditanya diri,sebenarnya kita lebihnya orang memuji 'hati' lebih daripada wajah dan baju.

Ya.Ia adalah akhlak.Tidak perlu baju mahal,kerana pengemis yang ikhlas membantu anak yatim lebih dihargai disisi Allah.

Namun,jika akhlak dan penampilan itu selari,bukankah itu yang terbaik?

Tidak dinafikan,saya juga suka berfesyen.Memakai pakaian yang baru.Namun,berbelanjalah cukup sekadar untuk bersyukur.Jangan berlebih-lebih berbelanja takut syukur bertukar kufur! Semua ini pesan saya buat diri.

*Baju yang penulis berminat untuk memiliki.Harapnya turun harga akhir musim sejuk nanti. ^^



Ooh.Link dibawah untuk muslimah.Semoga bermanfaat. =)

http://www.youtube.com/watch?v=VFEchd05NtI

Wednesday, January 18, 2012

Pengawas : Si Polis Daie'

"Apa tugas polis? Menangkap perompak.Lagi? Menerima laporan salah laku atau aduan.Lagi? Tembak orang pun termasuk ke?"

"Bila perlu mungkin......."

"Apa persamaan semua tugas-tugas polis? Menegakkan yang hak,menghukum yang batil."

"Seronok ke jadi polis? Bukan orang takut dengan polis ke? Tak nak la jadi polis.Nanti orang tak nak kawan,"

"Tapi kalau kamu takut pada polis, dan takut nak jadi polis.Siapa pula nak tegakkan kebenaran?" hmmm

"Katakan ada seorang polis.Dia kalau jumpa orang buat salah,dia cakap baik-baik.Dia bagi salam.Dia tanya nama kamu.Dia panggil kamu dengan panggilan yang kamu rasa senang dengannya. Dia katakan yang kalau kamu hormat peraturan,bermakna kamu hormat hak orang lain.Sebab orang lain boleh hormat peraturan.Kamu rasa dia menakutkan tak?"

"Mestilah tak takut.Saya tahu saya manusia.Kadang kadang saya betul.Kadang-kadang saya salah.Kadang-kadang orang lain tegur saya,kadang-kadang saya tegur orang lain.Itu memang hakikat manusia kan.Pelupa."

Si Polis Daie'

"Mesejnya biar rabbani,pendekatannya biar manusiawi"

"Kalau kamu polis,kamu kena tunjukkan akhlak yang baik.Kamu tak terima rasuah.Kamu mesti tunjukkan yang kamu takkan langgar peraturan.Perbaiki akhlak.Hadirkan pada mata mereka yang kamu polis yang baik dan menjaga hak manusia.Kamu bukan pembawa bala sehingga orang tak nak kawan dengan kamu."

"Tapi,ramai kawan-kawan saya jadi polis,tapi orang tak suka kat dia.Jadi geng kerajaan(guru) katanya.Kami rakyat ni pembangkang.Mana boleh sama kepala."

"Meskipun Rasulullah di pihak kerajaan.Rasulullah tetap memaafkan pembangkang.Rasulullah lindungi pembangkang.Rasulullah di maki dan di keji.Tetapi kalau ditanya kepada mereka,siapakah orang yang paling jujur pernah kamu kenal? Mereka akan jawab.Al Amin.Muhammad.

"Orang rasa tak suka pada kita,itu biasa.Tapi jika akhlak kita gred A seperti result exam kita,orang akan tetap cemburu tapi pada masa sama gembira ada kawan seperti kita"

Kata Allah dalam Quran,

"dan tegurlah mereka dengan hikmah dan kebijaksaanaan.."

"Hikmah hanya datang dengan ilmu.Kerana ada ilmu maka ada tahu.Manusia ni sebenarnya macam mana? Kenapa diorang tak suka orang lebih muda tegur mereka? Lelaki ni sebenarnya macam mana.Apa yang mereka fikir.Apa yang mereka kuat.Dimana kelemahan mereka.Wanita itu makhluk apa.Di mana kekuatan dan kelemahan dia."

"Kalau kamu faham manusia dengan tahu itu.Selepas itu,dakwah bil hikmah itu baru akan terhasil."

"Jika tidak,ia akan terus dengan slogan bil hikmah! Tetapi perkara yang sama masih berlaku,"

"Abang,kalau rasuah polis tak boleh.Tapi kalau polis rasuah pelaku salah boleh tak?"

"Sangat digalakkan! Abang dulu selalu belanja pelaku salah.Lepas tu bila abang dah baik dengan dia abang tegur la dia kalau dia buat salah.Sengih-sengih dia lepas tu bila abang tegur terus tarik baju masuk dalam seluar,"

"Hahaha.Bagus jugak idea tu.Tak boleh rasuah polis,rasuah pelaku salah ye dak?"

* Ini hanyalah pengalaman si penulis.Tidak bermakna penulis menyokong mana-mana parti,pembangkang kerajaan atau sebagainya. ^^











Saturday, January 14, 2012

Syarat Sah Kahwin Bukan Cinta

"Entah la Falah.Aku nak kawen masa belajar tu memang nak.Tapi calonnya tiada." rungut si Soleh.

"Alah,engkau je beralasan.Punya la ramai muslimah kat dunia ni,kau kata tak da calon.Ke kau yang memilih sangat? Dulu aku cadangkan muslimah seberang laut tu kau tak nak.Itulah.Inilah.Bukan muslimah-muslimah tu yang tak sesuai dengan kau.Engkau tu yang tak sesuai dengan semua orang," Falah membalas.Mukanya sedikit mencuka.Mungkin terkilan dengan si Soleh yang tidak menghargai cadangannya.

"Alah Falah.Aku bukan tak nak.Cuma aku tak da perasaan kat dia.Macam mana la nanti aku nak bercinta.Kalau tengok muka pun hati aku tak rasa suka."

"Ok.Serius dengan aku.Sorang pun kau tak pernah jatuh cinta ke?" Bersungguh-sungguh sahabatnya itu bertanya.

"Apa maksud kau jatuh cinta? Suka tu ada la.Suka tengok wajah muslimah yang bersih,tudung labuh,cakap sopan santun atau senang cakap,sejuk la mata memandang."

"Kau nak kawen tapi tak pernah dan tak nak jatuh cinta.Pelik la kau ni."

Soleh bangun bergerak ke rak bukunya.Dicapai sebuah buku berwarna merah bersama tulisannya yang berwarna putih.Kelihatan buku itu sudah lusuh.Warna kertasnya sudah ada tanda-tanda kekuningan.

"Cinta itu pengorbanan.Namun tak semua pengorbanan itu terselit rasa cinta."

"Ah kau.Tak habis habis nak bermadah." rungut si Falah. Bosan dia dengan si Soleh yang jiwang karat setiap malam itu.

"Antara jatuh cinta dan bangun cinta,
Saya pilih yang kedua...

[Intisari from the writings of Salm A. Fillah]

"Ada beza ke jatuh cinta dengan bangun cinta? Sama je bunyinya."

"Kalau aku.Aku pun akan pilih yang kedua.Eh,mestilah ada beza.Jatuh itu kan menyakitkan.Jatuh itu selalu meninggalkan kesan.Kau tengoklah berapa ramai orang tak siuman masa jatuh cinta.Akhirnya,si perempuan maruah tergadai.Si lelaki hilang entah ke mana.Anak yang lahir tidak berbapa,dibakar pula.Gila!"

Soleh mengeluh.Digaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

Syarat kahwin bukan cinta.

Syarat sah kahwin bukan kena jatuh cinta.Islam tidak pernah menyatakannya.Hatta cinta itu sendiri subjektif.Bagaimana hendak dikatakan seseorang itu sudah jatuh cinta?

Kata orang tua-tua, "makan tak kenyang,tidur tak lena"

Adakah yang cuba digambarkan ialah hilang kewarasan?

Untuk itu,cukuplah untuk mengahwini perlu ada rasa suka.Perlu sedap untuk dilihat di mata.Nabi sendiri menyuruh sahabat yang ingin berumahtangga melihat pasangannya sebelum berkahwin.Ditenung.Supaya timbul rasa sayang dan sedap memandang.

Cinta itu perlu romantis? BENAR.Itulah dia.Cinta itu perlu ada romantis.Berbual manja.Bergelak ketawa.Memujuk dan dipujuk.

Namun,untuk ber'romantis' tanpa ikatan yang sah,itu bukan satu rahmat tapi satu bala.Syaitan yang mengikatnya bukan lagi akad.

Jatuh cinta ibarat bermain lumba kereta tanpa ada insuran kereta.Masing-masing saling memberikan yang terbaik.Jantung berdegup kencang ibarat enjin kereta yang berderum.Tetapi apabila sekali berlanggar antara satu sama lain.Tiada insuran untuk mengendalikannya.Masing-masing mengherdik.Masing-masing menuding jari.Manis berlumba,bertukar pahit mencuka.

Ketika jatuh cinta.Semuanya indah.Kerana apabila semuanya indah,maka ia bukanlah dunia.Masing-masing menipu dan ditipu dengan kebaikan masing-masing.Yang masam dikata manis,yang hodoh bertukar cantik.Ditipu dan menipu.

BANGUNKAN CINTA

Bangunkan cinta itu ibarat kanak-kanak bermain-main.Berlari-lari dan berkejaran.Namun,kadangkala bergaduh dan bertengkar.Si ayah meleraikannya.

Begitu juga bangunan cinta.Yang manisnya pasti ada.Yang pahitnya pasti ada.Tetapi yang akan menjaga keharmoniannya adalah atas dasar tanggungjawab membawa sebuah keluarga.Tanggungjawab yang disandarkan pada agama.Harmoni kerana yang memegangnya ialah Tuhan yang Esa.

Bangunkan cinta selepas kahwin.Senyum pun pahala.Gaduh dan saling memujuk pun pahala.Beromantis tiada batasnya.

Jatuh cinta.Senyum meleret pun dosa.Saling memujuk pun dosa.Beromantis pula punya batasnya.

Bangun cinta atau jatuh cinta?

Dalam mencari pasangan hidup, Rasulullah s.a.w bersabda:

Seorang wanita dikahwini kerana empat perkara ;kerana hartanya, kerana kecantikannya, kerana nasab keturunannya dan kerana agamanya; kahwinilah wanita yang baik pegangan agamanya, kamu akan mendapat ketenangan.

(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


"Syarat sah kahwin bukan cinta.Tetapi memikul tanggungjawab sebagai manusia bernama dewasa."

(tintaibnumuslim)















Thursday, January 5, 2012

Nama Insan Itu Ibu


"Asyik-asyik hanan je kena buat kerja rumah ni.Abang tu mak tak pernah suruh pun," jiwa saya membentak ketika mencuci pinggan di dapur.Saya tidak tahan melihat telatah abang yang asyik sibuk keluar rumah bersama rakan-rakannya.

"Emak pilih kasih," batin saya menjerit.

"Anak-anak emak semua nak membantah ya.Abang tak nak tolong emak,hanan pun tak nak tolong emak.Habis siapa lagi mak nak harapkan.Mak letih tau tak.Pinggang mak sakit." Suara emak yang garang itu bertukar sayu.Kemudian, saya mendengar esak tangis emak di dapur.Emak masih lagi terus membasuh baju di bilik mandi walaupun ketika itu esak tangisnya belum berhenti.

Hati saya tersentak.Anak mana tidak merasa sayu mendengar tangis si ibu.Mula membenci diri.Permainan Playstation yang saya gilakan itu rupanya telah meracun fikiran dan benak saya.Membenci untuk membuat kerja rumah.Malas untuk membantu si emak yang semakin menerjah usia emas.

Namun,detik itu mengubah segalanya.Saya yakin dalam desak tangis itu emak tidak pernah berhenti berdoa supaya saya menjadi anak yang rajin dan taat kepada dia.


"Hanan minta maaf emak.Hanan minta maaf." Suara saya sayu dan perlahan.Perasaan malu bercampur rasa bersalah itu berbekas di hati saya sehingga hari ini.

Masih terngiang di ingatan saya,ketika mana nenek sakit dan tidak mampu berjalan.Memorinya mula hilang dari ingatan.Ayah selalu melawat nenek.Yang ayah dapat hanyalah marah dari nenek.Mungkin nenek sudah terlalu tua.Ingatannya tidak sekuat dulu.

Melihat marahnya nenek pada ayah menggambarkan kepada saya perasaan ayah ketika itu.Sayu.Dulu kecil-kecil ayah mesti pernah dimarahi nenek.Namun di akhir saat hidup nenek,ayah mesti rindukan saat dimarahi itu.Saat ayah masih lagi mandikan nenek ketika nenek tidak mampu lagi untuk berjalan masih terngiang ngiang di ingatan saya.Berbudi untuk si ibu,biar sehingga akhir hayat.

Pesan emak,"Belajar rajin-rajin,sudah kerja nanti baru fikir pasal kahwin".Walaupun nasihat itu membunuh hasrat saya untuk berkahwin awal,namun saya yakin emak sentiasa mendoakan yang terbaik untuk saya.Biarpun 4 tahun yang bakal dilalui sunyi sentiasa.Semuanya untuk emak tercinta.

Itulah insan bernama ibu.

Salam sayang buatmu ibu!


Islam Barat Pada 'Common Sense'


Saya kelewatan pada pagi itu.Berlari-lari dalam kesejukkan yang menyengat tulang ketika mengejar bas untuk ke kelas.Rakan seMalaysia yang berada di dalam bas tersenyum melihat gelagat saya.Itu tidak penting lagi.Saya sudah biasa menebal muka di UK.Bas di barat tidak sama seperti di Malaysia.Apabila pintu sudah ditutup rapat, pemandu bas akan terus memandu kehadapan walaupun anda berlari-lari mengetuk pintu bas itu.Mereka punya disiplin kerja.Punya masa untuk ditepati.Simpati hilang bersama pengajaran pada mereka yang mengejar bas.Mengajar mereka erti berdisiplin dalam diri.

Bas berhenti di perhentian pertama.Seorang wanita Muslim masuk bersama stroller ke dalam bas bersama dua orang anaknya yang masih kecil yang sedang lena di dalamnya.Ketika saya baru menoleh ke kiri dan kanan, semua penumpang yang sedang duduk berhampiran pintu hadapan sudah berdiri dan memberikan ruang untuk si ibu bersama anak-anaknya di dalam stroller.Si ibu tersipu malu sambil mengucapkan terima kasih.Saya melihatnya dengan penuh kagum dan teruja.

Saya masih teringat perkara yang sama berlaku di dalam LRT di Kuala Lumpur.Ketika seorang warga emas masuk ke dalam LRT yang sarat dengan penumpang, penghuninya muslimnya yang sedang duduk itu ibarat memejamkan mata.Akhirnya ada lelaki Cina yang bangun memberikan ihsan pada si warga emas yang kelihatan lesu itu.Saya berasa hampa dengan manusia seagama.

Di mana Islamnya barat itu? Ia terletak pada 'common sense' atau saya namakannya 'gerak hati'. Muslim itu kebanyakkanya sudah banyak dibius racun 'penting diri' sehingga akhirnya hilang rasa 'peduli'.

"Do you need my help to put in those goods into the bag sir?" tanya wanita yang bertugas sebagai casher di kaunter pembayaran ASDA.Wanita berkulit hitam manis itu melontarkan senyuman manis kepada saya.

"No,its alright." saya membalasnya dengan mengukir senyuman.

"Kalau pada mereka punya iman padaMu wahai Tuhan, pasti Islam itu lebih aggresif bangkitnya di barat," desis hati saya sendirian.

Bercakap pasal gerak hati pastinya ia berkait rapat dengan hati.Ada manusia bersyukur dengannya lalu dibelainya dengan bi'ah iman dan peringatan mati. Ada manusia yang lalai dengannya lalu ditatangnya dengan hiburan dan hidonisme sehingga hati itu mati.


قُل هُوَ الَّذى أَنشَأَكُم وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمعَ وَالأَبصٰرَ وَالأَفـِٔدَةَ ۖ قَليلًا ما تَشكُرونَ

Katakanlah: "Dialah Yang menciptakan kamu dan menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati". (Tetapi) amat sedikit kamu bersyukur. (Al Mulk ayat 23)
Related Posts with Thumbnails

Popular Posts