Menjejak kaki di daerah Sultan Ahmed
25 Mac 2012 - Istanbul.
Sampai di Lapangan Terbang Sabiha Gokcen bersama 11 orang sahabat yang lain, seterusnya menaiki bas ke Taksim (pekan di sekitar Istanbul). Ditipu oleh konduktor bas yang bertugas (mungkin salah faham maksud kami). Jadinya untuk ke Eurasia Hostel berdekatan Sultan Ahmet Mosque (Masjid Biru), kami memilih untuk menaiki teksi. Buat kali pertama dalam hidup, 7 orang disumbat masuk ke dalam satu teksi (termasuk pemandu teksi jadi 7 orang). Cuak. Polis trafik hanya memandang tanpa endah.
Kami menarik nafas lega. Perjalanan hanya 10 minit dan akhirnya kami tiba di hostel dan terus check-in. Berjemaah untuk jamak qasar zohor dan asar, seterusnya bersiap siap keluar untuk bersiar-siar di sekitar kawasan hostel. Akibat sarapan yang terkejar kejar, perut kami memberontak hebat. Di sepanjang laluan tram, kelihatan kedai makan berderat menemani jalan. 20 lira, 10 lira, 12 lira. Mata wang Turki itu tersemat pada papan tanda menu hadapan restoran. Akhirnya, kami jumpa yang paling murah. Sesuai dengan diri yang bergelar pelajar. Kebap Turki Ayam (Tavuk Kebap) menjadi pilihan. Untuk minuman, dengar khabarnya, Turki sangat terkenal dengan Teh Epal. Tidak berfikir panjang, teh epal jadi penghilang rasa dahaga perjalanan.
Terpandang akan balkoni di luar restoran.Sementara menunggu makanan dihidang, hati tergerak menjengah ke luar. Menonton pemandangan inti kota Sultan Ahmet dari balkoni atas. Perlahan lahan saya meninggalkan meja makan ketika yang lain sibuk berborak tentang perihal perjalanan. Subhanallah.
Pemandangan dari luar Masjid Biru
Bunyi loceng tram. Ting! ting! ting!. Manusia berlari lari meninggalkan laluan tram. Masjid Biru dan Aya Sofiya dihujani mentari suria keemasan. Sekali sekala unggas menyanyikan lagu petang sambil sang suria perlahan lahan mahu terlena dari hari yang panjang. Lautan manusia berselesihan. Bersosial dan berurus niaga di setiap pelusuk bumi Sultan Ahmet. Tram diselang seli dengan bas berulang alik di dada jalan. Sekali sekala bunyi anak kecil menangis. Tidak dilupakan si penjual roti bulat di sisi jalan. Kelihatan menarik untuk dirasa namun setelah dicuba rasa oleh seorang teman, hanya rasa tawar katanya. Menoleh ke arah selatan, saya menyaksikan makcik menjual roti ala ala murtabak. Termenung sejenak mengingatkan tanah air sendiri. Melihat sepintas lalu, mata meliar meninggalkan gerai roti itu.
Hari hampir gelap. Kaki berjalan ke laman Masjid Biru. Masuk ke dalam ruang solat. Terkesima. Saya terdiam kaku. Lampu chandeliar menghiasi masjid dengan megah. Ukiran ayat Quran terukair di setiap pelusuk masjid. Saya bergambar sebagai tanda kenangan.
Kenangan di dalam Masjid Biru
Kaki melangkah meninggalkan masjid. Anak tangga demi anak tangga saya susuri. Tatkala sampai ke pintu masuk masjid, disapa oleh wanita tua. Allah! Allah! Kemudia diikuti oleh mulutnya terkumat kamit berbicara dalam bahasa Turki. Tangannya berulang kali menunjuk cara ingin makanan. Saya menyeluk saku. Dalam gelap itu, saya hanya mencapai entah berapa yang ada di poket. Bismillah. Tangan menghulur dalam senyuman. Terus berlalu pergi. Ia pesan seorang teman. Untuk menghilang rasa takutnya miskin bersedekah, apa yang ada di poket, beri dan teruskan berjalan. Berhenti berfikir nak beri berapa. Nanti syaitan membisik terus tak jadi pula.
bersambung...
No comments:
Post a Comment