Boleh dikatakan lebih daripada satu hadis dan ayat Quran kita akan jumpa setiap hari sama ada di facebook, twitter, atau blog-blog dakwah umum terbuka seperti iluvislam, saifulislam, drmaza dan sebagainya. Namun, sejauh mana kalimah-kalimah hebat ini kita duduk dan renung isi tersurat dan tersiratnya? Kalau di bangku sekolah dahulu, penat lelah guru Bahasa Melayu mengajar kita untuk memahami sajak dan syair dan kadangkala perumpamaan. Malangnya, ketika mana kita melihat ayat Quran,yang hadir di kepala hanyalah apa yang tersurat.Yang tersirat hilang entah kemana, mungkin mati bersama malas untuk bersusah payah.
Secara jujurnya saya banyak memikirkan dengan mendalam tentang ayat Quran dan hadis dan saya temui pelbagai hubungan antara satu keadaan kepada satu keadaan yang lain dan setiap satunya memberi pencerahan kepada saya tentang makna sebuah kehidupan.Namun, ilmu yang sedikit tatkala bukan Bahasa Arab,Quran Sunnah atau Hadis yang menjadi kursus pilihan, maka saya bukanlah ahli yang terbaik untuk memberikan perkongsian. *ini adalah statement penting dalam artikel ini.
Ar Rahman - Air Laut Yang Tetap Pada Pendirian
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
Ia biarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu;
Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya;
Surah Ar-Rahman ayat 18-20
Sahabat yang dirahmati Allah sekalian, ketika mana kita berbeza pendapat dalam banyak hal dan perkara, semuanya atas takdir Allah yang membesarkan kita dalam berbeza keadaan dan persekitaran.Dahulu kita mungkin lali dengan perkataan seperti "persekitaran akan mencorakkan gaya pemikiran" tetapi itulah hakikatnya. Dibesarkan dikalangan ustaz dan ustazah takkan sama dengan dibesarkan oleh seorang ahli muzik dan ahli hisab. Apatah lagi contoh yang lebih besar seperti dilahirkan dalam keluarga muslim dan bukan muslim.
Sedar atau tidak,perbezaan itu satu rahmat.Ar Rahman.Yang Maha Pengasih.Allah letakkan perbezaan air laut yang bertemu pada Surah yang disebut sebagai Ar Rahman! Saya memikirkan berkemungkinan Allah meletakkan perumpamaan dua laut yang bertemu itu ibarat dua aliran pemikiran. Boleh jadi ia juga 2 perbezaan pendapat.
Dan ketika mana dua manusia ingin menyatakan sesuatu cadangan atau buah fikir , maka sudah tentu pada mereka punya pendirian. Pendirian inilah yang kita mahukan. Menjadi seorang Muslim dan mukmin, dimanakah pendirian kita? Maka ayat 20,ketika mana Allah mengatakan ada penyekat yang memisahkan, ia adalah satu peringatan kepada kita bahawa jangan dicampurkan yang Hak dan Kebatilan ketika mana berbahas atau melalui sebuah perdebatan.
Boleh jadi manusia berdebat dengan emosi, boleh jadi dengan rasional akal. Maka walau apa pun asas perdebatan itu, namun perlu diingat bahawa jangan berlebih-lebihan sehingga rahmatnya perbezaan bertukar menjadi kejinya perselisihan. Kerana syaitan itu sentiasa ditengah-tengah,melaga lagakan dua insan!
Dan pada ayat 20 di pengakhiran ayat, Allah menyatakan 'masing-masing tidak melampaui batasnya'. Dalam pemikiran saya yang kerdil dalam ilmu bahasa ini, saya hanya dapat memikirkan hikmah pada ayat 'tidak melampaui batas'. Maka bersederhanalah. Tidak kira dalam berbahas atau apa jua aspek kehidupan. Islam itu sederhana. Tidaklah ia berlebih lebih sehingga sampai kepada pembaziran dan tidak pula sangat kurang sehingga istilah kedekut menjadi sandaran.
Jadilah seperti ikan di laut masin. Walau seluruh hidupnya dihabiskan pada kemasinan, namun tidak pula ia masin ketika mana dimakan manusia yang kelaparan. Prinsip biar teguh di dalam, namun jangan dilupa meraikan perbezaan pandangan.
Astaghfirullah.Semoga Allah mengampunkan insan yang kerdil ini.
No comments:
Post a Comment