Sunday, February 26, 2012

Coretan Musafir Sheffield

Stesyen Keretapi Sheffield malam itu lenggang. Mungkin sudah agak lewat barang kali.Saya melihat jam di tangan. Jarum bergerak perlahan diiringi bunyi 'tik' yang sayup sayup hilang dari deria kedengaran. Empat sekawan itu berjalan seiringan. Papan tanda menjadi arah panduan. Sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan.

Selesa.Itu sahaja yang dapat saya ungkapkan. Bukan sahaja bersih, bahkan saya terkesima dengan ukiran di stesyen keretapi Sheffield ini.Klasik!

Kaki melangkah keluar. Ah.Kali ini bunyi deru air pula buat saya terpesona. Dengan air pancut dan hiasan jatuh air di kanan serta lampu biru bergemerlapan. Ia mengkagumkan. Subhanallah.

Dalam kesejukkan, kami berempat duduk di tembok berdekatan. Di samping kami sepasang merpati yang sedang bermesra-mesraan. Kami tidak mengendahkan mereka.

"Siapa ambil kita ni Din?" tanya saya kepada ketua rombongan. Beg yang digalas di bahu mula terasa berat. Angin semilir bertiup sejuk.Sekali sekala tubuh menggeletar.

"Asyandi."

Tatkala disebut nama itu. Saya tersenyum sendiri. Orang Sabah yang ramah itu. Senyum sentiasa terukir di wajahnya. Terimbau kenangan kami berlawan madah di bumi Conventry sambil sambil ice blended mocha dihirup. Ukhuwwah terikat kerana minat yang sama. Hebat sungguh percaturan Allah untuk pertemuan ini. Kami berkongsi minat yang sama rupanya. Bermadah kata...Alhamdulillah.








Wednesday, February 22, 2012

Motivasi Wuduk

Sejuk. Udara dingin itu menghampar insan yang sedang lena dibawah selimut biru. Matanya terasa berat sekali.Selimut yang tebal itu terasa mengikat dirinya pada empuknya katil.

"Matttt! Bangun subuh!" seru rakan sebilik.

Dia terus mengeliat liat di bawah selimut keronyok.Meregang urat-urat badan yang kendur.Lantas bangun dan duduk di sisi katil.Digosok-gosok matanya yang tidak gatal.Lampu putih bilik itu mula menusuk retina matanya.

"Dah pukul berapa?" tanya dia dalam sedikit mamai.

"6.40 pagi." sahut si rakan. Sahabatnya itu sedang menghampar sejudah usang merah.Bersedia untuk menunaikan solat subuh.

"Tunggu aku kejap.Nak pi amik wuduk,"

Tubuhnya menggeletar tatkala bilik mandi yang tidak dipasang pemanas, berkumpul zarah dingin yang melanggar-langgar tubuhnya yang kurus. Air dibuka kecil. Sentiasa terngiang ngiang coretan ustaz di blog. "Di sungai pun ada pembaziran ya Rasulullah? Ya.Cukuplah jika ia lebih dari keperluan,maka ia dikira pembaziran." Siapa sangka, dalam ibadah pun timbul pembaziran. Bukan air yang dibazir itu yang dirisaukan, tapi hati insan yang tersemat rasa tidak mengapa culas dalam pembaziran.



"Berwuduk je.Apa yang nak dikisahkan? Nama pun nak membasuh anggota badan.Kenalah lebih sikit.Baru bersih!"

Air itu sifatnya mengalir. Hatta walau sebutir, ia tetap akan mengalir sepanjang laluan jika tidak dihalang maranya. Kalau sebutir sudah seperti itu, maka cukuplah sekadar hirupan air untuk setiap anggota wuduk. Kalau duit kita boleh berkira walau sepuluh sen, kalau sikap jangan dilupa walau seketika. Membazir bukan amalan beragama!

Muka dibasuh biarlah padanya ada doa mengiringi keampunan dosa mata. Kalau satu dosa terkesan satu kotoran pada mata, takut-takut lama-lama ditarik nikmat menjadi buta.

Tangan dibasuh biar disulam bicara ampun pada yang Esa. Banyak guna tangan untuk perkara tak perlu. Berchatting lebih dari menulis kalam ilmu?

Telinga diusap basah. Pesan pada diri, bukan hak telinga keatas suara yang dusta dan khabar yang belum tahu sahihnya. Bukan hak telinga selain mendengar zikir lebih dari nyanyian manusia.

Kaki jua. Engkau fikirkanlah sendiri.

Alhamdulillah. Kalau wuduk sekadar wuduk, maka tiada apa melainkan bersih anggota. Tetapi wuduk dengan niat dan peringatan, ia membersihkan bakteria hati yang bermaharajalela.

Allahuakbar! Takbir diangkat.Bergugurlah dosa.

Kucing pun tahu untuk tak membazir!

Monday, February 13, 2012

Ar Rahman- Berprinsip Dalam Kehidupan



Kita selalu "take for granted". Yang ada dihadapan mata tidak pernah diendahkan.Yang tiada itu dicari dan sentiasa ingin diminta pencerahan.

Boleh dikatakan lebih daripada satu hadis dan ayat Quran kita akan jumpa setiap hari sama ada di facebook, twitter, atau blog-blog dakwah umum terbuka seperti iluvislam, saifulislam, drmaza dan sebagainya. Namun, sejauh mana kalimah-kalimah hebat ini kita duduk dan renung isi tersurat dan tersiratnya? Kalau di bangku sekolah dahulu, penat lelah guru Bahasa Melayu mengajar kita untuk memahami sajak dan syair dan kadangkala perumpamaan. Malangnya, ketika mana kita melihat ayat Quran,yang hadir di kepala hanyalah apa yang tersurat.Yang tersirat hilang entah kemana, mungkin mati bersama malas untuk bersusah payah.

Secara jujurnya saya banyak memikirkan dengan mendalam tentang ayat Quran dan hadis dan saya temui pelbagai hubungan antara satu keadaan kepada satu keadaan yang lain dan setiap satunya memberi pencerahan kepada saya tentang makna sebuah kehidupan.Namun, ilmu yang sedikit tatkala bukan Bahasa Arab,Quran Sunnah atau Hadis yang menjadi kursus pilihan, maka saya bukanlah ahli yang terbaik untuk memberikan perkongsian. *ini adalah statement penting dalam artikel ini.

Ar Rahman - Air Laut Yang Tetap Pada Pendirian

[18]
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
[19]
Ia biarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu;
[20]
Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya;

Surah Ar-Rahman ayat 18-20

Sahabat yang dirahmati Allah sekalian, ketika mana kita berbeza pendapat dalam banyak hal dan perkara, semuanya atas takdir Allah yang membesarkan kita dalam berbeza keadaan dan persekitaran.Dahulu kita mungkin lali dengan perkataan seperti "persekitaran akan mencorakkan gaya pemikiran" tetapi itulah hakikatnya. Dibesarkan dikalangan ustaz dan ustazah takkan sama dengan dibesarkan oleh seorang ahli muzik dan ahli hisab. Apatah lagi contoh yang lebih besar seperti dilahirkan dalam keluarga muslim dan bukan muslim.

Sedar atau tidak,perbezaan itu satu rahmat.Ar Rahman.Yang Maha Pengasih.Allah letakkan perbezaan air laut yang bertemu pada Surah yang disebut sebagai Ar Rahman! Saya memikirkan berkemungkinan Allah meletakkan perumpamaan dua laut yang bertemu itu ibarat dua aliran pemikiran. Boleh jadi ia juga 2 perbezaan pendapat.

Dan ketika mana dua manusia ingin menyatakan sesuatu cadangan atau buah fikir , maka sudah tentu pada mereka punya pendirian. Pendirian inilah yang kita mahukan. Menjadi seorang Muslim dan mukmin, dimanakah pendirian kita? Maka ayat 20,ketika mana Allah mengatakan ada penyekat yang memisahkan, ia adalah satu peringatan kepada kita bahawa jangan dicampurkan yang Hak dan Kebatilan ketika mana berbahas atau melalui sebuah perdebatan.

Boleh jadi manusia berdebat dengan emosi, boleh jadi dengan rasional akal. Maka walau apa pun asas perdebatan itu, namun perlu diingat bahawa jangan berlebih-lebihan sehingga rahmatnya perbezaan bertukar menjadi kejinya perselisihan. Kerana syaitan itu sentiasa ditengah-tengah,melaga lagakan dua insan!

Dan pada ayat 20 di pengakhiran ayat, Allah menyatakan 'masing-masing tidak melampaui batasnya'. Dalam pemikiran saya yang kerdil dalam ilmu bahasa ini, saya hanya dapat memikirkan hikmah pada ayat 'tidak melampaui batas'. Maka bersederhanalah. Tidak kira dalam berbahas atau apa jua aspek kehidupan. Islam itu sederhana. Tidaklah ia berlebih lebih sehingga sampai kepada pembaziran dan tidak pula sangat kurang sehingga istilah kedekut menjadi sandaran.

Jadilah seperti ikan di laut masin. Walau seluruh hidupnya dihabiskan pada kemasinan, namun tidak pula ia masin ketika mana dimakan manusia yang kelaparan. Prinsip biar teguh di dalam, namun jangan dilupa meraikan perbezaan pandangan.

Astaghfirullah.Semoga Allah mengampunkan insan yang kerdil ini.


Related Posts with Thumbnails

Popular Posts