Monday, July 18, 2011

Hadiah Buat Si Perantau


Bunga cinta sakura.

Merantau,bermusafir atau berjalan-jalan.Semua orang sukakanya. Pantang di ajak berjalan pasti ramai yang mengangguk. Sama ada cuma sekadar jalan-jalan kosong, merapatkan hubungan, atau mencari ketenangan dengan merenung alam ciptaan Tuhan dengan hati dan iman. Kalau kaki fotografi, kamera akan diusung ke sana dan ke mari. Gambar diambil di setiap sudut dan posisi. Wah! Saya membayangkan saya mempunyai kamera DSLR sendiri sambil berjalan di bawah pokok sakura yang sedang mekar kejambuan.

Perantauan dan permusafiran bukan sekadar minat dan angan-angan tetapi ia juga disebut oleh baginda Nabi Muhammad dalam hadisnya.

“Hiduplah di muka bumi ini ibarat seorang perantau”

Hatta baginda nabi menganalogikan kehidupan sebagai sebuah perantaun.Pastinya ada ibrah disebalik kata-kata baginda.

Sebagai seorang yang dalam perantauan, dia perlu tahu ke mana arah tuju atau destinasinya. Apalah guna berjalan tanpa tujuan. Ibarat bermain bola tanpa tiang gol, tidak ada gunanya.

Teringat akan zaman persekolahan, setiap dari kita pasti punya banyak keinginan. Mempunyai banyak mainan, kasut sukan, sahabat karib dan adakalanya keinginan untuk cepat menjadi dewasa.

Namun,setelah kita dewasa.Setelah kita punya semua yang kita minta sewaktu di zaman kanak-kanak, kita punyai keinginan yang lain. Sehinggalah akhirnya kita sudah tidak mampu berjalan tanpa tongkat di tangan. Akhirnya kita berkata, “aku inginkan kesudahan yang baik sebagai hamba Tuhan”.

Matlamat berubah seiring usia.Pemikiran matang bila hari semakin mendatang. Walau apa jua perubahan, namun di akhir sebuah kehidupan, kita bermatlamatkan satu.Mati sebagai hamba Tuhan,bukan sebagai hamba Syaitan!

Mati adalah matlamat,tujuan dan destinasi bagi kisah sebagai seorang perantau. Ia adalah pasti.

Tidak semua barang kita akan bawa untuk capai ke destinasi. Barang yang diperlukan digalas di bahu kanan dan kiri. Barang yang tidak perlu dibuang bersama barang ‘non-recycle’ yang tidak punya erti untuk sebuah kehidupan yang singkat ini. Bagaimana untuk menilai barang yang perlu? Ia bukan hanya perlukan penilaian akal,tetapi ia perlukan penilaian hati.

Kalau sudah diketahui hala tuju, berjalanlah di landasan yang betul. Beramallah seperti orang-orang syurga jika kau mencintai syurga. Apakah persamaan mereka yang mencintai syurga? Mereka semua derita seketika di dunia. Demi cinta akan agama,demi cinta akan Tuhan pencipta segala, demi janji Tuhan bagi orang yang memilih jalanNya.

Hakikatnya,perantauan dan perjalanan ini tidaklah sama seperti sebuah perlancongan 5 bintang yang indah. Tetapi ia penuh mehnah yang terselit ibrah dan sinar kegembiraan disebalik susah,derita dan payah.

Tidaklah perumpamaan nabi itu sia-sia bagi mereka yang memandangnya dengan akal dan iman. Untuk memahaminya perlukan akal. Untuk beramal dengannya perlukan hati dan iman.

Hadis itu hadiah buat si perantau sepertimu, insan yang mencari redha Tuhan kerana cinta pada kekasih illahi nabi akhir zaman.

No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget
There was an error in this gadget
Related Posts with Thumbnails

Popular Posts