Tuesday, October 11, 2011

Fikir Dua Kali

Kembara Sebuah Dunia Asing

Satu persatu wajah mula bergenang air mata.Tidak pasti apakah dia yang memulakannya.Terasa seolah olah suasana menyambut sebuah kematian.Seolah-olah dia bakal dihantar bertemu janji Tuhan.Dahi dikucup dengan lelehan air mata.Seorang demi seorang.Dia diam seribu bahasa.Hanya yang keluar dari bibirnya hanya kata-kata, “Tolong tengok-tengokkan mak ayah Hannan ye.” Berulang-ulang kali.

“Mak,Ayah,halalkan makan minum adik.Maafkan adik.Mak ayah jaga diri ye,” dalam esak tangis itu dia masih mampu mengulas bicara.Dahi seorang anak dikucup sepuas-puasnya oleh si Ibu.Ayah hanya melihat penuh kaku. “Apalah yang ada dalam hati ayah,” bisik hatinya.

Bismillahirrahmanirrahim.Kalimah itu diucapkan bersungguh-sungguh.Apabila tersepit dalam rongga keresahan dan keperitan,tidak ada pengharapan lain melainkan kepada TUHAN.Tangga itu perlahan-lahan bergerak turun.Dengan bag yang hampir 7 kilo digalas di bahu,kaki melangkah perlahan.Lambaian ibu dan ayah masih jelas di mata.Satu persatu hilang dari pandangan.Dia resah.Berseorangan.Dikesat baki air mata di pipi.Dia pesan pada diri, “Aku perlu kuat.Ini jalanku.Ini takdirku.Allah bersamaku.”

Semuanya berjalan lancar.Immigresen berpuas hati.Si pramugari tersenyum mempersila diri.Kaki melangkah penuh berat seolah-olah tidak mahu mara ke hadapan.Bahu masih lagi terasa hangat pelukan ahli keluarga.Bunyi pesawat mula memekakkan telinga. “Kali ini tiada berpatah lagi,” desis hati.

Bismillahitawakkal ala Allah.Aku bertawakkal akan nasibku kepada Allah.

Kapal Terbang selamat terbang dengan selamatnya.Pramugari menjalankan tugas dengan wajah ceria.Namun itu bukan kisahnya.Itu bukan ibrahnya.

FIKIR DUA KALI

Perjalanan 7 jam ke Abu Dhabi meloyakan perut saya.Kapal terbang mula bergegar dek kerana awan tebal.Perut kosong mula berkeroncong.Makanan yang dihidang tidak lagi menyelerakan.Dipaksa suap oleh tangan.Hampir-hampir makanan itu terkeluar kembali kerana mabuk udara.Saya mula resah.Entah buat kali ke berapa,saya berdoa setulus hati.Sepenuhnya bergantung.Sepenuhnya merendah diri.Aku hamba.Aku Hamba.Dengarlah pintaku ya Allah.Lindungilah aku.Lindungilah aku.

Ketika itu saya bertanya pada diri.Mengapa saya ingin menuntut ke luar Negara.Mengharungi sebuah perjalanan yang jauh ini bukan perkara yang menyelarakan.Bahkan ia satu musibah bagi saya.7 jam dengan perut yang meloyakan.Seolah-olah mabuk menunggu kematian.

Apa seronoknya belajar ke luar Negara jika dijamah dengan perjalanan seperti ini.

Tetapi ia membuatkan saya berfikir.Bermuhasabah.

“Kalau tidak diuji,itu bukan golongan syurga.Kalau tidak diuji,tidak ada cerita pahit untuk dicerita.Jika tidak diuji,tidak ada kematangan dalam pertambahan usia.Jika tidak diuji,tidaklah ia dipanggil kembara.Tidaklah ia bernama manusia.Tidakkah Tuhan itu sayang kerana itu dia menguji untuk memuji.” Saya coretkan ini dalam kamus perjalanan saya.

Adakah ia punya ibrah? Pandanglah dari sudut diri saya.Sebagai si pengembara.

Alhamdulillah.

P/S: Semoga Allah kuatkan saya untuk menulis.Amin.Insyaallah bersambung.

Terima kasih kepada abang Petronas ini.Saya punya teman untuk berbual.

Di Luar Lapangan Terbang Manchester


No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget
There was an error in this gadget
Related Posts with Thumbnails

Popular Posts