Friday, July 29, 2011

Mencari Ritma Yang Hilang


Hold My Hand Brothers.Lets us work for ummah!

Ketika saya bergelumang dengan pelbagai idea untuk ditulis dan dikongsi sama ada di blog atau status facebook, akhirnya keserabutan itu saya susun sedikit demi sedikit supaya dapat dijadikan bahan santai untuk diajak berbual dengan sahabat handai mahupun orang yang tidak pernah saya kenal.

Yang pentingnya,ia tidak perlu bersyarat.

Tidak kira anda seorang muslim atau non muslim, bumiputra atau bukan bumiputra, sebagai seorang manusia punya nama,pasti punya hasrat untuk berkongsi kebaikkan.

Saya dilontarkan dengan seribu satu soalan dan diuji dengan beribu kisah dalam kehidupan yang saya fikir ia satu peluang untuk dimanfaatkan untuk menjulang kembali takhta nilai kemanusian.

Dan ketika mana saya khusyuk membuat analisa dan menyusun tinta pembaharuan, saya terasa sepi disebabkan keseorangan. Dalam pada saya beriya-iya bangun untuk mendalami psikologi manusia untuk membangunkan dakwah(mengajak kepada kebaikkan) dan islah(membangunkan potensi diri) dengan lebih terarah, sahabat-sahabat dan saudara mara saya terus menari dengan pentas arus duniawi.

K-Pop itu dikejar, Harimau Malaya diagung-agungkan semahunya, novel cinta dikhatamkan sebanyak-banyakknya, Cinta Monyet digayut sehingga patah dahannya. Tidak kurang yang melayan perasaan dengan Drama Cinta yang panas di TV3!


Adakah salah berhibur? Haramkah memberi hiburan pada diri?

Ia berbalik pada konsep kesederhanaan. Ia berbalik pada meletakkan dunia pada tangan bukan pada hati. Bagaimana itu?

Bermakna kalau sekalipun tidak dapat tiket bola untuk menonton harimau Malaya lawan Chelsea,tidak perlu diperkotak katikkan oleh DJ hot.fm untuk mendapatkan sehelai tiket yang seronoknya hanya untuk 1 jam 30 minit!

Bermakna kalau ada masa tengok penari K-Pop dan pelakon hansem drama korea, tidak perlusehingga mempromosikan mereka di profil picture di facebook. Berangan-angan punya buayafren dan gelifren seperti orang korea sedangkan nama anda Muhammad dan Siti!

Untuk rebranding hiburan ini, belajarlah dari sudut yang positif. Misalnya dalam drama yang anda dan saya tonton itu, hadirkan akan satu analisa selain hanya menjadi seorang penonton tegar yang melayan perasaan lalu apabila cerita itu habis,maka yang kita dapat hanyalah ‘lelaki itu hansem dan perempuan itu cantik’ atau ‘nak lelaki baik macam tu dan ini’.

Letakkan diri pada sudut yang lebih tinggi. Ada mesej yang penerbit ingin sampaikan pada penonton. Ada mesej yang pelakon ingin sampaikan pada peminat. Jangan sempitkan pemikiran pada menghiburkan hati dan perasaan.

Orang yang melihat drama lalu dia belajar ‘body language’ pelakon untuk dipraktikkan dalam kehidupan itu lebih baik dari sekadar lihat dan melayan perasaan.

Orang yang memotivasikan diri dengan menjerit di dalam diri supaya jadi lebih rajin mentelaah buku itu lebih baik dari mereka yang hanya melaungkan ‘Hidup Harimau Malaya’ sekuatnya tapi semakin malas untuk menyempurnakan seruan Iqra’.

Kenapa malas untuk menari untuk menguruskan diri tetapi sibuk melayan K-Pop yang menyanyi dan menari tak henti? Rakyat Malaysia obesiti tapi malas nak berjalan kaki walau ke kedai yang jaraknya hanya beberapa inci.

Namun dalam berjuta pemuda di Malaysia,berapa ramaikah yang melihat dari sudut yang tinggi itu? Berapa ramaikah yang cuba mencari rentak kematangan dalam diri?

Berapa ramai pemuda yang sedar dibelakangnya punya abi dan ummi untuk dijaga pada masa emas nanti,dibelakangnya punya adik beradik untuk dimotivasi dan dibantu pada masa susah nanti, punya tanggungjawab pada anak-anak dan isteri?


Sibuk dengan perkataan ‘i love u’ sedangkan makan minum masih disara orang tua sendiri.Tak tau malukah pada diri?

Saya masih sunyi dalam jalan dakwah ini.

Monday, July 18, 2011

Hadiah Buat Si Perantau


Bunga cinta sakura.

Merantau,bermusafir atau berjalan-jalan.Semua orang sukakanya. Pantang di ajak berjalan pasti ramai yang mengangguk. Sama ada cuma sekadar jalan-jalan kosong, merapatkan hubungan, atau mencari ketenangan dengan merenung alam ciptaan Tuhan dengan hati dan iman. Kalau kaki fotografi, kamera akan diusung ke sana dan ke mari. Gambar diambil di setiap sudut dan posisi. Wah! Saya membayangkan saya mempunyai kamera DSLR sendiri sambil berjalan di bawah pokok sakura yang sedang mekar kejambuan.

Perantauan dan permusafiran bukan sekadar minat dan angan-angan tetapi ia juga disebut oleh baginda Nabi Muhammad dalam hadisnya.

“Hiduplah di muka bumi ini ibarat seorang perantau”

Hatta baginda nabi menganalogikan kehidupan sebagai sebuah perantaun.Pastinya ada ibrah disebalik kata-kata baginda.

Sebagai seorang yang dalam perantauan, dia perlu tahu ke mana arah tuju atau destinasinya. Apalah guna berjalan tanpa tujuan. Ibarat bermain bola tanpa tiang gol, tidak ada gunanya.

Teringat akan zaman persekolahan, setiap dari kita pasti punya banyak keinginan. Mempunyai banyak mainan, kasut sukan, sahabat karib dan adakalanya keinginan untuk cepat menjadi dewasa.

Namun,setelah kita dewasa.Setelah kita punya semua yang kita minta sewaktu di zaman kanak-kanak, kita punyai keinginan yang lain. Sehinggalah akhirnya kita sudah tidak mampu berjalan tanpa tongkat di tangan. Akhirnya kita berkata, “aku inginkan kesudahan yang baik sebagai hamba Tuhan”.

Matlamat berubah seiring usia.Pemikiran matang bila hari semakin mendatang. Walau apa jua perubahan, namun di akhir sebuah kehidupan, kita bermatlamatkan satu.Mati sebagai hamba Tuhan,bukan sebagai hamba Syaitan!

Mati adalah matlamat,tujuan dan destinasi bagi kisah sebagai seorang perantau. Ia adalah pasti.

Tidak semua barang kita akan bawa untuk capai ke destinasi. Barang yang diperlukan digalas di bahu kanan dan kiri. Barang yang tidak perlu dibuang bersama barang ‘non-recycle’ yang tidak punya erti untuk sebuah kehidupan yang singkat ini. Bagaimana untuk menilai barang yang perlu? Ia bukan hanya perlukan penilaian akal,tetapi ia perlukan penilaian hati.

Kalau sudah diketahui hala tuju, berjalanlah di landasan yang betul. Beramallah seperti orang-orang syurga jika kau mencintai syurga. Apakah persamaan mereka yang mencintai syurga? Mereka semua derita seketika di dunia. Demi cinta akan agama,demi cinta akan Tuhan pencipta segala, demi janji Tuhan bagi orang yang memilih jalanNya.

Hakikatnya,perantauan dan perjalanan ini tidaklah sama seperti sebuah perlancongan 5 bintang yang indah. Tetapi ia penuh mehnah yang terselit ibrah dan sinar kegembiraan disebalik susah,derita dan payah.

Tidaklah perumpamaan nabi itu sia-sia bagi mereka yang memandangnya dengan akal dan iman. Untuk memahaminya perlukan akal. Untuk beramal dengannya perlukan hati dan iman.

Hadis itu hadiah buat si perantau sepertimu, insan yang mencari redha Tuhan kerana cinta pada kekasih illahi nabi akhir zaman.

Wednesday, July 13, 2011

Menjadi Penulis Yang Lebih Baik

Sungguh berat rasanya ingin menulis,mencoretkan kata dan menjaja idea tajdid(pembaharuan) meskipun dicurahkan nikmat masa yang lapang.Benarlah kata mereka-mereka, "lebih mudah berkata-kata dari melakukan apa yang dikata".Lebih menakutkan jika dikatakan 'cakap tak serupa bikin'! Lalu dipaksa jua menjadi rajin dan memerah keringat agar dapat jua dikongsi walau sebaris ayat dalam ruang blog ini.Tidak ada gunanya menyatakan ikhlas di sini kerana itu hak Allah untuk menilainya.

Kagum dan terus kagum dengan mereka yang terus menerus menulis dan memperbaharui isi blog sedangkan blog ini terus ditinggalkan bersawang dan berhabuk.Selamat berjihad buat blogger di luar sana!

Yakin bahawa blog ini masih lagi bosan seperti biasa,ditambah dengar muzik latar raihan yang mengantukkan,Insyaallah diminta agar pembaca di luar sana memberikan sumbangan idea dan cadangan agar blog ini dapat dibangunkan untuk diteruskan dalam medan dakwah maya ini.Mohon doanya!

Membaca dan berjumpa dengan blog-blog di luar sana memberikan sedikit gambaran bahawa ada dua jenis penulis yang dominan dalam dunia blogger ini.Pertamanya mereka yang menulis seolah-olah seorang kolumnis yakni lebih kepada fakta dan isi dan seorang lagi penulis yang saya gelarkan sebagai penulis kehidupan kerana mereka lebih suka menggunakan perkataan 'saya' dan 'aku' dalam menceritakan pengalaman dan menyampaikan idea pemikiran.

Siapakah saya? Saya lebih kepada penulis yang kedua.Meskipun telah berulang kali cuba untuk membuangkan perkataan 'saya',namun ia tidak pernah berjaya.

Mencari dan terus mencari gaya penulisan yang diminati remaja khususnya.Bahannya, isunya, soalan-soalan di minda mereka. Blog terkenal dengan ILUVISLAM.com antara yang dilihat mampu membimbing hati remaja.Mungkinkah kerana karya cerpen dan cerita dan banyak pilihannya?

Apa-apa pun, sekadar satu renungan ketika mentadabbur ayat 4-6 dalam surah At-Tin.

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah.Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus."

Biarlah memaksa untuk memperbaiki dakwah pada hari ini dari menyalahgunakan nikmat lapang dengan drama tv dan isu artis terkini.Moga jadi peringatan kepada diri.

Menjadi penulis yang lebih baik,menghasilkan blog yang terbaik,dan mengharapkan ganjaran syurga yang terbaik! sama-sama kita doakan^^






Saturday, July 9, 2011

Ramadan.Di mana hikmahnya?

"Saya tidak akan menyampaikan ceramah agama seperti mana ustaz-ustaz yang anda jumpa sebelum ini apatah lagi membincangkan tentang khilaf antara ulama tentu isu fiqah dan sebagainya.Saya bukan ustaz.Tetapi saya cuba untuk berkongsi dengan anda pandangan saya pada Islam yang kita anuti." kata saya pada program Gegar SBPIKP dalam mukaddimah saya untuk tajuk "How to be an effective Muslim?"

Saya mencintai taman-taman syurga yang disyorkan oleh baginda Nabi dalam hadisnya.Saya mencintai ulama' dan ustaz-ustaz yang memberikan idea-idea untuk membangunkan manusia lebih dari saya mencintai jurutera dan kontraktor yang membangunkan teknologi dan material semata-mata.Sebabnya? Majunya teknologi,modennya material dan kebendaan tidak menjanjikan manusia yang lebih bertamadun.

Buktinya tidak perlu di'google' di internet,tetapi cukuplah anda membacanya di dada-dada akhbar setiap hari.Kita sibuk berbangga dengan pencapaian negara,tetapi pada masa yang sama manusia terus mundur akhlaknya. Kes buang bayi, zina, isteri simbah suami dengan asid dan sumbang mahram dan sebagainya. Kita terus memuja pembangunan seolah-olah menyokong keruntuhan sikap dan akhlak manusia,

Ustaz, para daie dan Protaz(professional dan ustaz) pula sibuk mengendalikan perubahan hati manusia.Ujian dan dugaannya tidak perlu dicerita. Kalau mudah jalannya,pasti ramai yang memilih jalan ini.Jalan mewarisi para dakwah nabi. Kenapa jalan para nabi yang mesti saya sebut dan kita pilih? sebabnya pengakhiran mereka ialah syurga.Apalah yang ada pada jalan artis? jalan mat rempit? tidak ada yang pasti..mungkinkah syurga atau pastinya neraka?

Belajar dan dengar ceramah agama penting untuk membangunkan diri.Tetapi untuk membangunkan orang lain dari lena mereka yang tidak mimpikan Tuhan, mereka perlu disuapkan dengan bukti dan contoh yang merasionalkan akal.Bahannya? Ia adalah AGAMA.Pendekatan dan penyampaiannya biarlah diterima fitrah sebagai MANUSIA.
Misalnya kita bercakap tentang PUASA.Bagi manusia yang yakin akan janji Tuhannya, cukuplah ayat Al Quran tentang arahan berPuasa itu dipatuhinya. Maknanya,ia tidak perlu diragui. Cukuplah dengan berkata, "kami dengar dan kami patuh".

Tetapi manusia yang sudah lama lupa pada kitab Quran yang berhabuk di atas almari dan meja, bercakap tentang wahyu PUASA dalam Al Quran tidak akan menarik minat mereka.Bagi mereka Islam gagal dalam membentuk manusia dengan berpuasa. Kerana,setelah habis sebulan berpuasa, manusia kembali kepada kejahatan dan maksiat lama.

Seolah-olah Islam dan Akhlak manusia tiada kaitannya.

Namun,ingin saya mengemukakan kembali teori dalam bab Ibadah sebagai peringatan buat kita semua.

Allah berfirman,

"Hai orang-orang beriman,diwajibkan keatas kamu berpuasa sepertimana yang diwajibkan diatas orang-orang sebelummu,agar kamu bertaqwa" Al Baqarah ayat 183

Tidaklah saya orang yang arif dalam bahasa arab untuk mentafsir ayat Al Quran, tetapi dengan membaca ayat ini,cuba anda lihat kepada Input,Process dan Outputnya.

Hai orang-orang beriman(INPUT)

diwajibkan keatas kamu berpuasa (PROCESS)

agar kamu bertaqwa (OUTPUT)
Kalau anda tidak percaya pada Allah dan Rasulnya,maka isu puasa dan bertaqwa tidak akan menjadi relevan dalam hidup anda kerana berpuasa tanpa ada percaya,ia adalah sia-sia melainkan lapar dan dahaga.Itu yang pertama.

Kalau anda mengaku beriman pada Allah, tanpa anda berpuasa,maka anda tidak akan mempu untuk menjadi orang yang bertaqwa. Kerana untuk menghasilkan hasil,ia mesti disertai dengan process.Mana mungkin dari tepung mampu jadi kek tanpa adanya process bukan? Itu yang keduanya.

Kalau anda beriman dan berpuasa tetapi hasilnya setelah sebulan berpuasa tidak mampu menghasilkan taqwa(patuh perintah Allah dan jauhi larangannya),maka puasa anda tidak sempurna.Itu yang ketiganya.

Puasa dan akhlak,hanya relevan dan berjaya apabila Muslim itu beriman,berpuasa dan dengan puasanya itu menghasilkan taqwa.

Saya suka beranalogi dalam menyampaikan Islam yang saya anuti.Saya suka pada bunga-bunga dakwah.Bunga bukan hanya manis pada isi madunya,tetapi mampu menarik minat lebah untuk menghisapnya.

Dakwah dan bunga tidak dapat dipisahkan.

Bunga-Bunga Dakwah..Alhamdulillah..=)






Related Posts with Thumbnails

Popular Posts