Tuesday, December 27, 2011

Aku Mencari Kata Cekal


Malam ini saya masih belum mampu memejamkan mata.Akal terasa sarat dengan formula matematik,bersimpung siur memberatkan kepala.Hati mula merungut.Persoalan-persoalan lama masih menghantui saya.

"Adakah betul aku memilih untuk belajar di UK ni?"

Berulang kali saya berfikir untuk istikharah.Tidak pernah kesampaian.Hati saya menidakkannya.Bagaimana kalau setelah istikharah nanti saya lebih berat untuk pulang ke Malaysia? Apa kata keluarga saya? Bagaimana dengan pinjaman MARA?

Saya menyelak halaman maya.Blog saifulislam.com.Blog genta rasa.Sengaja saya memberi peluang kepada diri untuk menerima kedua guru yang saya cukup kagum dengan kesantaian mereka berkongsi motivasi.

Dokumentari Great Wall of China baru sahaja selesai diruang mata.Akal masih ligat berfikir.Mencari ibrah di sebalik dinding Cina yang berupa seekor naga.Cina yang kaya ekonomi hari ini,disebalik kisah lampau mereka,terpendam berjuta sejarah hitam. Begitulah manusia agaknya. Ada masanya kita merungut susah.Tetapi rungutan itu nanti jualah yang akan menjadi bisikan manis di hari senja.

Saya lemparkan persoalan itu sejauhnya.Dalam hati,saya teruskan berbicara doa.

"Ya Allah,cekalkanlah aku sepertimana cekalnya nabi-nabimu untuk tsabat dalam perjuangan ini.Perjuangan bagi menggapai syurgaMu,yakni tempat rehat bagi manusia-manusia luar biasa yang cekal jiwanya.Amin."

Monday, December 26, 2011

Kejarlah Percaya Itu.

Muhammad Al-Fateh (Pembuka Kota Constantinapole)

Ibnu Batutah

Teringin benar insan ini mengenali tokoh itu.Penulis diari pengembaraan Islam yang gigih.Dari satu tempat ke satu tempat,dia mengembara,meneliti sejarah dan tingkah laku manusia,lalu mencoretnya penuh ihsan untuk tatapan manusia zaman selapasnya.Perjalanan itu tidak mudah.Berehatlah Ibnu Batutah.Kali ini,biarlah insan ini pula yang menyambung tugasnya.Mencoret sedikit pengalaman sepanjang permusafiran di bumi England,Kota Jagatraya Barat.

Dia ingin ke PUISI sebenarnya.Untuk bercinta dengan Muhammad Al-Fateh.Seorang Raja.Seorang Panglima.Juga seorang yang besar cita-citanya; merempuh Constantinapole(Turki) untuk membuka pintu Islam ke dalam jiwa penghuninya.Namun,kota Ireland itu terasa jauh dari dirinya,kewangannya,juga tiada teman untuk berlayar ke sana.Hasrat itu terkubur mati.

Mengapa Muhammad Al Fateh?

Sabda Rasulullah S.A.W. ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Rasulullah menyebutnya dengan penuh keyakinan walaupun ketika itu para sahabat masih lagi resah.Kepungan tentera ahzab hanya beberapa kilometer dari kota Madinah.

Percaya.Kerana adanya percaya,seorang demi seorang tokoh lahir untuk menjayakan hadis ini.Dan akhirnya, ia milik si Fateh.Pemuda sebaik-baik raja dan pemimpin.

Kalau Rasulullah mengatakannya sebagai satu pemacu semangat,mengapa tidak kita yang mengejarnya?

“Sesungguhnya Allah membangkitkan bagi umat ini, seorang mujaddid yang akan membaharui agamanya pada setiap awal seratus tahun.” (Al-Hakim, al-Baihaqi, Ibnu Hajar, Abu Daud & al-Iraqi)

Nah,sengaja saya lontarkan hadis ini.Kali ini bagaimana? Sedia bersama saya untuk bersaing merebut gelaran mujadid ini? ^^


Monday, December 5, 2011

Laungan Palestina



Titis demi titis air mata berguguran.Matanya kemerah-merahan.Semerah dendam di dada yang membuak-buak melihat kekejaman.

"Akan aku cincang kau Zionis Laknatullah!" batin dia menjerit.Tangannya menghentak hentak kerusi.

Tidak mampu lagi dia menahan.Nafasnya kasar menahan sebak.Satu persatu wajah saudaranya dirobek peluru hidup.Lebih memilukan apabila ada yang tinggal tulang dimamah bom phosphorus putih.

Akhirnya video itu berhenti jua.Dadanya sebak.Akalnya berserabut memikirkan gambaran suasana di Gaza.Hatinya tidak henti-henti meratapi kesedihan.Sedih melihat saudara semuslim syahid atas jalan Rabbi.Sedih mengenangkan betapa kufurnya diri dengan nikmat aman yang Tuhan beri.

"Saya lihat remaja mereka,apabila tidak ada kerja,mereka duduk dan buka Quran.Malangnya bagi kita,ada yang pakaian dan macam ustaz dah,tapi bila tak da kerja,duduk baca komik,"kata Dr Syed,penceramah Cakna Palestine yang murah senyumannya itu.

Sekali lagi hatinya tersentap.Menunduk malu pada diri sendiri.

"Apa yang telah aku lakukan di masa lapangku? Untuk surah Yusuf itu masih merangkak-rangkak.Di mana tempohnya sebulan yang diperuntukkan?"

Malu.Malu dengan Dia yang maha Satu.

"Orang Palestina,dari tukang sapu sampah hingga kepada pemimpin teratas, semua mereka bercakap tentang perjuangan.Itu jiwa orang-orang besar," tambah Dr Syed bersungguh-sungguh.Dia mendengarnya tanpa sebarang kelipan mata.

Gambar demi gambar dipertontonkan oleh doktor yang ke Gaza untuk misi kemanusian itu.Kali ini,gambar itu menyegarkan benaknya.

Satu persatu wajah-wajah mujahid palestina tersenyum.Ibarat medan tempur itu medan mainan mereka.Dari si kecil tidak berdosa sehingga si askar sasa bersama senjata.Senyum.Tidak ada senyuman yang lebih ikhlas dan mesra dari itu.Hanya warga palestina mewarisinya.

Perluru berpandu itu mereka yang menciptanya sendiri.Gabungan usaha pensyarah dan darah muda palestina.Di negara yang separa musnah itu,masih ada kekuatan untuk mengerah ilmu untuk menyembelih zionis gila.

"Itulah jihad.Berbuat kebaikan sampai rasa letih," kata Shaheer.

"Palestin itu bukan milikku.Ia milik semua umat Islam.Tidak akan aku benarkan tanah suci ini jatuh kepada bukan pemiliknya," Sultan Abdul Hamid 3.

Setelah beliau ditangkap dan dikurung oleh si celaka,jatuhlah khilafah.Menangislah tanah palestin dengan darah rakyatnya.

"Di mana Engkau umat Islam? Di mana Engkau orang yang berbaiah dengan Allah dan Rasulnya?!!!!!"

Dia terkedu.Insaf.

Salam rindu dan doa buatmu sayangku palestina.Hanya doa yang tidak putus-putus mampu aku curahkan.Semoga ada juga ruang untukku di syurga, walau jalan jihad kita berbeza.

TAKBIRRR!!!!!!!!!!!! ALLAHUAKBAR


Saturday, December 3, 2011

Hari Kiamat 2012? Ibrahnya di mana?

"Salam.saudara,saya ada membaca satu artikel menyatakan bahawa bukti-bukti menunjukkan bahawa hari kiamat ialah pada tahun 2012.Betulkah? Apa pandangan saudara?" tanya seorang sahabat.

Saya tidak mengiyakannya.Apatah lagi menidakkannya.Saya bukan ustaz punya ilmu hadis dan Quran di dada.

Saya mengambil ruang untuk bercakap sebagai seorang pemikir.Dan apabila ia datang dari hasil fikir seorang manusia,pasti kelemahan itu merata-rata.Saya seorang hamba! Sungguh hanya Dia yang sempurna!

"Kalau saya katakan perkara itu tidak penting bagaimana?" saya menjawabnya.

"Kalaupun 2012 itu hari kiamat,apa faedahnya pada manusia? Lebih soleh? Semakin mencari Tuhan? saoalan 'Bila' bukan isu besar bagi saya.Implikasi beriman dengan hari kiamat itu ibrahnya," tambah saya lagi.

Kalau esok sekalipun hari kiamat,hatta hari ini sekalipun,yang hendak diuruskan bukan hari kiamat.Yang telah disuruhkan oleh Dia adalah menguruskan dunia tanpa melupakan akhirat.
Hari kiamat itu urusan DIA.Bila masanya? Nabi sendiri tidak pernah menyatakannya.

Tumpukannlah dengan cara hidup,bukan cara mati.Kerna manusia yang mati pada malam Jumaat sekalipun,jika dia mati sebab syirik pada Allah,adakah ada syurga bagi dia? Itu semua urusanNya.Tetapi manusia yang menjadikan Quran dan Sunnah sebagai cara hidup,hatta jika dia mati di kelab malam sekalipun,hati dia ingat dan takut pada Allah.Adakah Allah akan membiarkan dia mati dalam keadaan terhina? Itu juga urusanNya.Wallahualam.

Semoga Allah ampunkan kesalahan saya atas kelemahan mata pena saya.Amin.

56:156:256:3
Surah Al-Waqiah

[1]
Apabila berlaku hari kiamat itu,
[2]
Tiada sesiapapun yang dapat mendustakan kejadiannya.
[3]
Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar), dan meninggikan (golongan yang taat).



Related Posts with Thumbnails

Popular Posts